Keratan Akhbar Utusan Malaysia: SMK Jengka 2 catat kejuaraan tiga tahun berturut-turut
MARAN 30 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Daerah Maran selepas menewaskan SMK Jengka 6 dengan jaringan 5-2 dalam perlawanan akhir baru-baru ini.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Abdul Rahman Ahmad berkata, kemenangan itu merupakan satu sejarah tersendiri buat SMK Jengka 2 kerana muncul juara buat tahun ketiga berturut-turut.
''Keseluruhannya tahun ini 16 pasukan dari sekolah menengah daerah Maran berentap bagi memilih juara, sekali gus mewakili daerah Maran ke peringkat negeri.
''Pada perlawanan akhir di padang SMK Jengka 18 itu, SMK Jengka 6 dianggap pasukan pilihan, namun SMK Jengka 2 yang dibarisi beberapa pemain berbakat seperti Mohd. Amirul Amir dan Iqwan Shafik Sabri berjaya menampilkan aksi hebat.
''Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, SMK Jengka 6 menewaskan SMK Maran manakala SMK Jengka 2 pula mengetepikan SMK Jengka 21," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Ketua Unit Sukan Pejabat Pelajaran Daerah Maran, Burhanuddin Hashim berkata, kejohanan bola sepak di peringkat sekolah sebagai langkah awal mencungkil bakat pelajar dalam 'ibu' segala sukan ini.
Katanya, usaha berterusan seperti ini penting supaya negara tidak ketandusan pemain bola sepak, malah ada pelapis berprestasi tinggi mewakili negeri dan negara.
Burhanuddin juga mengingatkan pelajar supaya aktif dalam bidang sukan sebagai kokurikulum kerana ia dapat membentuk sahsiah serta jati diri generasi yang cintakan negara.
''Malah, mana-mana pelajar aktif dan menunjukkan semangat kepimpinan serta rekod kejayaan dalam aktiviti diberi sijil yang diambil kira 10 peratus dalam kemasukan ke universiti," katanya
Sumber ; Utusan Malaysia online, Pahang
Arkib : 31/03/2012
TAHNIAH BUAT SKUAD Bola Sepak Bawah 15 Tahun SMK Jengka 2!!